Salam..

Monday, February 7, 2011

MEMORI TAMRIN IMAM MUDA TAUFIKIAH

بسم الله الرحمن الرحيم

Hati ini melonjak-lonjak ingin menulis segala memori yang masih segar dalam ingatanku ini,namun keletihan & kesakitan yang menerpa diri ini menjadi mani’(penghalang) untukku menulis dengan baik. Namun di pagi yang indah & segar ini setelah menyiapkan segala kerja rumah,aku membancuh secawan susu panas sebagai sarapan pagi dan terus membuka laptop dan membiarkan jariku mula menari-nari di atas keyboard ini dengan rancak mencoret semua memori semasa program yang ku hadiri baru-baru ini. Dua tiga minggu yang lalu aku menerima sms daripada seorang sahabat yang baru ku kenal ketika sebelum peperiksaan stpm dulu,kami berhubung sebagai perantaraan unit pra U sekolah bertukar-tukar soalan exam trial stpm. Walaupun selepas peperiksaan berakhir kami masih berhubung. Sms yang ku terima ternyata mengejutkanku,aku diminta menjadi fasilitator bagi program di sekolahnya dahlulu. Jika diikutkan hati sendiri mahu sahaja aku terima tanpa banyak bicara namun keizinan orang tuaku lebih utama. Setelah bertanyakan kepada mak & abahku ternyata mereka tidak punyai masalah sedikit pun untuk mengizinkanku pergi. Alhamdulillah. Aku diminta mencari 4 orang lagi untuk menjadi fasi di sana nanti. Aku meneliti satu demi satu nombor telefon rakan-rakanku,mencari siapa yang harusku jemput untuk turut serta bersamaku nanti. Dugaan. Memang payah sekali mengajak rakan-rakan untuk turut serta kerna masing-masing ada tanggungjawab sendiri,ada yang bekerja dan belajar dan tidak kurang juga ada yang ingin sekali pergi namun terikat dengan urusan lain serta tidak diizinkan oleh ibubapa mereka.

Waktu program hanya tinggal seminggu sahaja lagi namun aku baru dapat mengajak  dua orang untuk turut serta,ini bermakna aku masih perlukan dua orang lagi. Saat ini aku hampir mahu berputus asa dan ingin mengundur diri daripada menyertai program tersebut,namun sahabat yang mengajak aku pergi ke program tersebut seakan-akan terlalu mengharap supaya aku dan rakan-rakan yang lain sudi untuk pergi ke sana dan membimbing adik-adik sekolahnya dulu. Oleh  itu aku kuatkan semangatku semula berusaha lagi mencari dan Alhamdulillah disaat-saat akhir aku menemui mereka yang sudi turut serta. Aku cuba mempersiapkan selengkap mungkin ilmu yang berkaitan dengan program agar mudah untuk menjalankan tanggungjawab di sana nanti.Program ini berlangsung pada 3/2/2011 – 5/2/2011 pada hari khamis hingga hari sabtu baru-baru ini. Namun sebagai fasi kami diminta untuk pergi awal iaitu pada petang rabu untuk membuat sedikit persediaan sebelum program. Pengangkutan pergi dan pulang kami di sediakan oleh pihak sekolah di sana, aku menghadapi kesulitan ketika mencari rakan-rakan untuk turut serta,namun setelah berjaya mendapatkan semuanya,ujian ini tidak hanya terhenti disini. Pada petang dalam perjalanan ke tempat kami berkumpul sebelum dijemput oleh pihak sekolah,kereta yang ku naiki menghadapi masalah dan tidak dapat bergerak. Ya Allah, terasa resah dan sedih pada ketika itu menerima ujian yang tidak henti-henti,namun aku memujuk diri,dalam hati berdoa dengan sungguh agar Allah tunjukkan jalan keluar daripada masalah ini, tidak lama selepas itu Alhamdulillah, Allah telah menghantar seseorang untuk menolongku, bersyukur sangat-sangat. Dia adalah abang angkat adik aku yang sudi menghantarku untuk sampai ke destinasi yang dituju. Aku merasa tidak selesa dan memohon maaf kerna telah menyusahkan dia namun aku anggap dia adalah perantaraan Allah untuk aku meneruskan urusanku ini.

Pergi ke program tersebut umpama pergi ke medan jihad, kerna di sana kami dipertanggungjawabkan untuk memberi bimbingan kepada adik-adik yang dahagakan ilmu pengetahuan terutama tentang ilmu agama,ibadah serta akidah dalam kehidupan seharian mereka. Mereka inilah yang akan menjadi pemimpin yang memimpin negara berpandukan Al-Quran & Sunnnah  kelak. Akhirnya selamat juga sampai di sekolah yang menjadi destinasi tujuan atau medan jihad kami para fasi iaitu Sekolah menengah agama taufikiah( pondok pakya). Program yang dijalankan ini bertemakan ‘IMAM MUDA’ pengisiannya bertumpukan kepada soal ibadah & akidah para pelajar. Sayu di hati ini mereka seperti musafir yang berjalan mencari-cari air di padang pasir yang panas membahang, dahagakan ilmu. Aku tidaklah begitu pandai dan punyai banyak ilmu untuk diberikan kepada mereka kerna aku sendiri masih belajar dan masih banyak perkara aku masih kurang mahir lagi,namun ku salurkan sebanyak mungkin pengetahuan yang ku ada untuk mereka,menjawab segala persoalan yang bersarang di pemikiran mereka berkaitan permasalahan tentang Islam semampu yang aku boleh. Jika aku tidak tahu terus rujuk kepada fasi yang lebih senior untuk menjawabnya. Alhamdulillah selesai sudah program tersebut, jika diikutkan program selama 2 hari setengah itu tidak cukup untuk mereka,masih banyak perkara rasanya yang belum sempat diberikan pendedahan kepada mereka. Namun begitu aku dan barisan fasi yang lain berharap mereka akan menyimpan dan menggunakan mutiara ilmu yang kami berikan itu dengan sebaik-baiknya. 

Aku pula terus-terusan diuji,hari terakhir aku sakit mata gara-gara bisa serangga yang bernama ‘charlie’. Smpai sekarang mataku sakit,entah bila akan sembuh,apapun aku berharap sakit ini merupakan maghfirah dosa untukku. Mungkin sebelum ini pandangan mata ini terlalu liar memandang maksiat dan kini biarlah kesakitan ini menjadi maghfirah dosa itu. Wallahua’lam.  

No comments:

Post a Comment